Komuniti India Muslim tidak akan dipinggirkan daripada MIB, kata Dr Subramaniam

Komuniti India Muslim tidak akan dipinggirkan daripada MIB, kata Dr Subramaniam
Subramaniam berkata, telah ada wakil daripada masyarakat India Muslim sejak awal penubuhan MIC dan mereka telah memainkan peranan penting ketika itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Masyarakat India Muslim tidak akan dipinggirkan daripada Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), pelan tindakan untuk membangunkan masyarakati India di negara ini, kata Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata ini menunjukkan bahawa parti itu masih mewakili komuniti India Muslim.

"India Muslim juga adalah sebahagian daripada masyarakat India dan mereka yang layak tidak akan dipinggirkan daripada kerangka tindakan itu.

"MIC adalah parti yang menekankan keterangkuman. Kita tidak meminggirkan mana-mana anggota kaum India berdasarkan agama kerana komuniti itu juga membentuk sebahagian daripada kekuatan parti," kata Dr Subramaniam pada media pada majlis berbuka puasa untuk masyarakat India Muslim di ibu pejabat parti di sini hari ini.
Dr Subramaniam juga mengingatkan masyarakat India bahawa komuniti India Muslim telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan dalam kesusasteraan Tamil.

Dr Subramaniam juga mengakui peranan masyarakat India Muslim dalam meningkatkan martabat kaum India sejak penubuhan parti itu.

"Telah ada wakil daripada masyarakat India Muslim sejak awal penubuhan MIC dan mereka telah memainkan peranan penting ketika itu."

"Dan hubungan kita dengan komuniti ini juga sangat kukuh, justeru pada masa yang sama mengingatkan mereka (komuniti India Muslim) bahawa MIC juga adalah wakil mereka," kata beliau.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata ini merupakan tahun kedua parti menganjurkan majlis berbuka puasa bagi masyarakat India Muslim.

Majlis itu anjuran bersama MIC dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN) juga menyaksikan parti menyampaikan sumbangan barangan runcit dan makanan kepada kira-kira 100 orang masyarakat India Muslim yang kurang bernasib baik.

Turut hadir timbalan presiden MIC Datuk S.K Devamany, anggota jawatankuasa kerja pusat merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan yang juga anggota jawatankuasa kerja pusat MIC.

-- BERNAMA