Tindakan New Zealand yang terus menzahirkan sokongan dan solidariti terhadap mangsa serangan pengganas di Christchurch minggu lalu melambangkan komunitinya berakhlak tinggi walaupun ia bukan sebuah negara Islam.

Salah seorang rakyat Malaysia di sana, Muhammad Habibullah Md Ali berkata, sistem yang terbina oleh negara itu memastikan kejujuran dan keikhlasan wujud dalam diri setiap anggota masyarakat.

"Yang pertama ialah kejujuran. Memang tiada peluang langsung untuk rasuah. Dan kejujuran itu berlaku kerana sistem yang telah terbina dan individu yang tertinggi sangat dihormati masyarakat sekeliling.

"Jadi, saya rasa walaupun bukanlah sebuah negara Islam, namun ia menunjukkan New Zealand ini adalah negara yang tertinggi dari segi akhlaknya sama ada di peringkat pengurusan atau komuniti," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Muhammad Habibullah merupakan presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di New Zealand, dikenali sebagai Handshake People.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan beberapa organisasi Islam lain, termasuk di Christchurch dan Auckland, bagi menyalurkan bantuan kepada komuniti sekeliling yang terkesan.

Malah, katanya, kerajaan New Zealand banyak membantu keluarga mangsa termasuk dari segi sokongan moral dan sebagainya.

"Memang cepat sekali sokongan dan bantuan diberikan kerajaan New Zealand kepada keluarga mangsa. Mereka tidak perlukan publisiti untuk melakukan semua itu.

"Malah, saya telah berhubung dengan keluarga terlibat dan mereka beritahu dapat menghantar pulang ahli keluarga ke tanah air. Bantuan-bantuan lain juga memang sangat cepat dan ia bukan publisiti untuk media," tambahnya.