Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menafikan kemungkinan penangkapan beberapa lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang terlibat dengan kumpulan kongsi gelap dalam sindiket penyeludupan dadah ke dalam negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ia berdasarkan siasatan terhadap suspek yang sudah ditahan dan perkembangan terkini berhubung kes penyeludupan tersebut.

"Kita sudah jalankan siasatan dan risikan ke atas kegiatan haram yang berlaku di KLIA yang melibatkan beberapa orang pegawai dari sebuah agensi kerajaan.

"Kami dapati mereka juga terlibat antara lainnya adalah kegiatan membawa dadah masuk dari luar negara menggunakan khidmat beberapa orang daripada jabatan yang bertanggungjawab di KLIA.

"Berdasarkan risikan baharu daripada tangkapan baru-baru ini, mereka yang terlibat membantu kegiatan penyeludupan ini kita tangkap dan tahan untuk siasatan lanjut," kata Noor Rashid pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hijau PDRM 2017, di sini, hari ini.

Pada Ahad dan Isnin lepas, polis telah menahan enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana dipercayai membantu kumpulan kongsi gelap menyeludup dadah masuk ke negara ini.

Mereka turut dipercayai terlibat membenarkan kemasukan bahan mentah untuk memproses dadah.