Langkah kerajaan memperkenalkan konsep tender terbuka tidak akan menjejaskan agenda Bumiputera, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sebaliknya, beliau berkata langkah itu dilihat akan membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor Bumiputera mendapatkan sesuatu projek itu dengan lebih adil dan terbuka kepada semua dengan tidak terhad hanya kepada pihak tertentu sahaja.

"Apa yang diamalkan sekarang ialah kita tukarkan kepada tender terbuka. Apa yang dalam agenda Bumiputera tetap sama tapi tender terbuka. Bukan macam dulu kena dapat tanda tangan pihak tertentu, hanya orang yang ada kabel kuat. Itu kita tak mahu lihat ia berlaku lagi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Khas Belanjawan 2019, di sini Rabu malam.

"Saya harap di sini tidak ada kesan, hanya dari segi keadaannya tender terbuka, termasuk di kalangan kontraktor Kelas F. Sebagai contoh bila kita amalkan di Pulau Pinang, kita boleh lihat ada kontraktor-kontraktor Bumiputera yang benar-benar buat kerja. Itu yang saya nak berikan tumpuan." tambahnya.

Beliau berkata menerusi tender terbuka, tiada lagi rundingan terus mahupun tender terhad bagi sesuatu projek termasuk projek kerajaan seperti projek di bawah Perbadanan Nasional Berhad dan Majlis Amanah Rakyat.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Anggota Parlimen Bagan menafikan dakwaan beberapa pemimpin Kelantan bahawa Belanjawan 2019 tidak memberi perhatian terhadap pembangunan di negeri-negeri Pantai Timur.

Beliau berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana peruntukan yang diberikan untuk setiap negeri dalam Belanjawan 2019 menunjukkan peningkatan dan kerajaan berlaku adil tanpa meminggirkan mana-mana negeri.

"Untuk negeri-negeri kita telah naikkan (peruntukan) daripada RM27.9 bilion kepada RM31.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan termasuk juga negeri Kelantan. Di sini bukan sahaja Pulau Pinang naik, Kelantan juga naik daripada RM1,214 juta kepada RM1,376 juta.

"Ini adalah sesuatu yang jelas sekali kita tidak pinggirkan mana-mana negeri, kita bertindak adil sungguhpun ini adalah datang daripada negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin terutamanya daripada parti pembangkang menghentikan permainan sentimen berunsur fitnah jahat dan kebencian serta mengemukakan hujah berdasarkan fakta dan angka.

-- BERNAMA