Kajian saintifik yang yang dilakukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam membantu konservasi gajah Pygmy Borneo di negeri ini.

Pengasas Projek Seratu Aatai, Nurfarina Othman ketika ditemui AWANI di Taman Hidupan Liar Lok Kawi berkata penilaian yang teliti dan bertepatan penting dalam mengetahui biologi sebenar gajah terancam itu.

Tambahnya, pemerhatian yang khusus harus diberikan kepada gajah-gajah tersebut dalam pengumpulan data bagi membantu para pengkaji menjawab dan memahami biologi haiwan berkenaan.

"Kajian saintifik ini untuk kita mengumpulkan bukti secara tersusun, maksudnya kita nak tahu kenapa gajah itu datang ke sesuatu kawasan. Dalam menjawab persoalan itu, kita kena habiskan masa di lapangan, dan buat pemerhatian yang teliti untuk pengumpulan data.

"Justeru, kajian saintifik itu perlu kerana kita berdasarkan fakta dan analisis bukan pengalaman untuk menyokong persoalan-persoalan kita," katanya.

Pengasas Projek Seratu Aatai, Nurfarina Othman.

Dalam pada itu, menurut Nurfarina, peningkatan insiden kematian 'gajah Sabah' dapat ditangani jika masyarakat berganding bahu membantu para pengkaji mengumpulkan maklumat mengenai gajah Borneo itu.

"Jika gajah-gajah tersebut masuk ke kawasan mereka, masyarakat boleh membantu memulihara spesis terancam ini dengan membuat banyak pemerhatian bagi mendalami biologi dan perilaku gajah itu.

"Ini juga membolehkan mereka tahu bagaimana hendak berdepan dengan haiwan-haiwan ini selain mereka boleh menyalurkan banyak maklumat kepada kita," ujarnya.

Pegawai Perhubungan Awam JHL Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JHL Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata tahap kesedaran masyarakat terhadap konservasi gajah Sabah amatlah penting dalam mengawal kepupusan spesis ini.

"Gajah-gajah ini kita lindungi untuk generasi akan datang selain haiwan ini juga merupakan tarikan utama kita untuk sektor perlancongan.

"Tanpa gajah, industri perlancongan kita tidak ada sebab Sabah sendiri terkenal dengan alam sekitar dan juga hidupan liar, jadi kita harapkan semua pihak bekerjasama membantu memelihara gajah di negeri ini," katanya.