Kontrak syarikat penyedia dan pengendali makanan di kantin atau dewan makan asrama sekolah akan ditamatkan serta merta jika berlaku kes keracunan dalam kalangan pelajar, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata tindakan itu perlu diambil memandangkan langkah memberi amaran beberapa kali kepada pihak berkenaan sebelum ini didapati tidak berkesan.

"Keracunan makanan di sekolah merupakan sesuatu yang serius sebab itu kita (kementerian) tidak mahu lagi memberikan amaran.

"Amaran akan dimasukkan sebagai terma tambahan baharu dalam kontrak pelantikan pengendali atau penyedia makanan, saya akan kajinya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau diminta mengulas kes keracunan makanan di sekolah yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Kes terbaharu melihat kes keracunan ke atas 53 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) setelah menikmati hidangan yang disediakan pengendali makanan di dewan makan kolej berkenaan Rabu lepas.

Didapati van yang digunakan untuk mengangkut makanan tersebut kotor selain perkakasan seperti dulang makan, jag, dispenser air, mangkuk, pinggan tidak dibersihkan dengan sempurna.

Di Perak, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata 10 kes keracunan makanan di sekolah direkod sepanjang bulan ini.