Kira-kira 22,000 kontraktor Kelas F (G1) di seluruh negara perlu berani merebut peluang daripada kontrak projek yang diperolehi syarikat konsesi dilantik kerajaan.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, ini kerana peruntukan kerja penyenggaraan besar kepada kontraktor kecil boleh merangsang keadaan ekonomi lembap dan membantu kontraktor kecil bumiputera di seluruh negara.

"Kontraktor kelas G1 yang akan mendapat projek itu perlu melalui undian atau sebut harga sebelum dipilih atau dilantik kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

TONTON: Naikkan nilai kerja kontraktor Kelas F kepada RM350,000 - PERKOBF

Kontraktor Kelas F atau mengikut kelas terbaharu, G1, melaksanakan kerja di bawah RM200,000 dan lesen bagi kelas itu dikhususkan kepada kontraktor bumiputera.

Sehingga kini, terdapat 39,056 kontraktor berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) Kementerian Kerja Raya seluruh negara meliputi G1 (22,206), G2 (8,121), G3 (2,485), G4 (1,719), G5 (1,259), G6 (620) dan G7 (2,646).

Jelas Mokhtar, kontraktor bumiputera disaran tidak merebut projek kerajaan semata-mata dan perlu memperluas rantaian kenalan ke pihak swasta juga sekaligus terus bersaing dalam cabaran yang lebih luas.

Katanya, mengikut levi yang dikutip CIDB jumlah projek yang ditawarkan adalah melebihi RM220 bilion namun projek kerajaan hanya 20 peratus sahaja daripada jumlah itu dan selainnya adalah projek swasta.

"Kerajaan telah memberikan latihan, seminar, tunjuk ajar dalam mendapatkan projek apabila mana-mana kontraktor mendapat lesen yang sah dan telah diperakui.

"Adalah tidak adil dan munasabah jika kita salahkan kerajaan mahupun rakan kontraktor lain yang mendapat projek atau dilantik kerajaan. Ini bukan masanya untuk salahkan sesiapa.

"Kita mestilah harus merebut peluang dan menambah ilmu dalam bidang pembinaan kerana dunia tanpa sempadan semakin berubah dan memerlukan kita terus berdaya saing dan lebih maju lagi," katanya.

Mokhtar juga percaya projek berkaitan kerajaan akan meningkat berikutan Keluaran Dalam Negara Kasar bertambah baik, ringgit semakin mengukuh selain harga minyak yang stabil menjadi pendorong utama ekonomi Malaysia di paras terbaik.

Beliau berkata pihaknya turut menzahirkan rasa simpati kepada masalah dihadapi semua kontraktor baik kecil mahupun besar yang berhadapan masalah merebut kek ekonomi dan kontrak projek ditawarkan kerajaan dan swasta dek jumlah kontraktor yang semakin meningkat.

Namun katanya, pelbagai tawaran pasti tiba khasnya ketika negara sedang rancak membangunkan infrastruktur pengangkutan seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Tren Aliran Transit Massa (MRT), Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan seharusnya peluang ini diintai semua kontraktor.

"Kerajaan telah pun memenuhi permintaan persatuan kita dengan memberikan kontrak kepada kontraktor kelas G1,G2, dan G3 untuk projek berkaitan LRT
dan MRT malah akan memberikan lagi kepada mereka untuk projek ECRL menerusi sistem cabut undi," tegasnya.

Beliau berkata pihaknya turut menyokong tindakan kerajaan dan Kementerian Kerja Raya dalam memberikan kontrak kepada syarikat konsesi yang kemudiannya menyerahkan projek itu kepada kontraktor kecil.

Jelasnya, penyenggaraan jalan persekutuan yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya diberikan melalui konsep penswastaan kepada syarikat konsesi dilantik yang memberikannya kepada kontraktor kecil, khasnya kelas G1 hingga G3.

Justeru, Mokhtar berkata PKMM sehingga kini tiada masalah dengan syarikat konsesi itu yang sentiasa membantu ahlinya melaksanakan kerja penyenggaraan.

"Syarikat konsesi yang dilantik kerajaan seperti Selia Senggara, Belati Wangsa, Roadcare, Amona Infracare, Empayar Indera dan Muhibbah Bina Sdn Bhd memberikan kerja penyenggaraan kepada kontraktor kecil yang layak, sama ada melalui undian atau sebut harga," katanya.

Kontraktor Kelas F atau mengikut kelas terbaharu, G1, melaksanakan kerja di bawah RM200,000. Lesen bagi kelas itu dikhususkan kepada kontraktor bumiputera.