Majlis Keselamatan Negara (MKN) diarah memantau projek pembalakan berskala besar di Hutan Merapoh dekat Kuala Lipis, Pahang bagi memastikan ia dihentikan sepenuhnya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, arahan itu dicapai susulan perbincangan beliau dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam.

“Saya sudah minta Shahidan untuk menghantar orang (penguat kuasa) untuk memantau (Hutan Merapoh).

“Saya sudah bincang dengan beliau bagi mengatur kedudukan anggota-anggota MKN ke situ,” katanya pada sidang media Parlimen, di sini, hari ini.

Wan Junaidi menambah, beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar supaya sebarang aktiviti pembalakan dan pembangunan di kawasan terbabit dihentikan serta merta.

Sekiranya arahan itu tidak dipatuhi, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang ingkar.

“Kita telah kaji secara ringkas, banyak pihak yang terlibat dalam hal ini, pembangunan dan pembalakan yang dijalankan tidak mematuhi undang-undang alam sekeliling 1974.

“Saya dah arahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya keluarkan perintah berhenti kerja untuk semua aktiviti di hutan tersebut. Semalam pun ada kontraktor masih buat kerja,” katanya.

Wan Junaidi berkata kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk kerja-kerja pembalakan dan pembangunan di hutan tersebut juga tidak dilaksana sebelum penerokaan dibuat.

“Saya nak satu kajian semula berhubung dengan hutan ini dijalankan dan saya akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini.

“Walaupun kawasan yang hendak dibangunkan ini merupakan tanah hak milik persendirian, pemberian tanah itu diberikan dalam kawasan hutan simpan pada awal tahun 2000 dahulu, iaitu sebelum kajian EIA dijalankan.

"Pembangunan dijalankan pada zaman ini, jadi semua pihak kena patuh arahan ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun tanah, hutan dan air milik kerajaan negeri, semua pihak perlu akur dengan kajian JAS bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya bencana.