Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony memberi amaran kepada para kontraktor yang menyelenggara loji pam air di kawasan Kemabong, di sini, supaya 'membersihkan' kerja mereka dalam tempoh selama 14 hari atau berdepan tindakan.

Beliau berkata, ini memandangkan terdapat isu bekalan air di kawasan berkenaan yang dilihat tidak selesai sejak setahun lalu sehingga menyebabkan gangguan bekalan dan menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

"Selepas berbincang dengan pihak kontraktor terbabit, saya telah minta mereka menyelesaikan masalah ini dalam masa 14 hari daripada sekarang.

"Mereka sudah bersetuju, berkemungkinan kurang daripada 14 hari tetapi itu adalah masa yang kita berikan kepada mereka. Saya berharap selepas ini kita akan sediakan atau bekalkan peralatan-peralatan ganti seperti pam yang sudah satu tahun lebih tidak dapat diselesaikan.

"Saya juga sudah minta kepada jurutera daerah untuk memberi kita maklumat tentang mana-mana alat ganti yang perlu kita sediakan, sekurang-kurangnya kita mempunyai backup atau spare part sekiranya berlaku permasalahan sebegini di masa depan," katanya ketika membuat lawatan kerjanya di Loji Air Kemabong, Tenom, hari ini.

Terdahulu, Peter mengadakan taklimat ringkas di Pejabat Jabatan Air Tenom.

Beliau yang baru sahaja menjawat jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dalam pembentukan Kabinet Negeri baru-baru ini, berjanji akan membuat siri jelajah di seluruh negeri dalam memastikan masalah bekalan air yang membelenggu rakyat Sabah akan diselesaikan.