Kontraktor perkhidmatan pembersihan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bakal berdepan dengan tindakan tegas termasuk pembatalan kontrak kerana gagal memenuhi obligasi dalam perjanjian yang ditandatanganinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata syarikat kontraktor tersebut gagal menyediakan 120 pekerja pembersihan setiap hari seperti ternyata dalam terma perjanjian.

Menurutnya, pada hari-hari tertentu hanya separuh daripada jumlah pekerja berkenaan datang untuk bekerja.

"Walaupun kerajaan telah membuat bayaran kepada konktraktor, masalah ini masih berlaku...tindakan tegas perlu diambil....jika kontrak itu perlu dibatalkan, maka ia perlu dilakukan," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di kompleks berkenaan pada Isnin.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa keretakan dan kebocoran pada struktur bangunan kompleks berkenaan.

Justeru, Liew berkata beliau telah meminta pengurusan kompleks itu menyediakan laporan supaya dibentangkan kepada Kabinet bagi mendapat kelulusan dana bagi kerja-kerja pembaikan.

Beliau juga berkata sistem penyaman udara di kompleks tersebut kurang memuaskan dan ia perlu diatasi dengan segera.

Dalam tinjauan tersebut, Liew diiringi oleh Ketua Hakim Negara,Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zahara Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Pada Ahad, kira-kira 200 pertugas, pegawai dan hakim di kompleks berkenaan menjalankan gotong royong membersihkan kawasan tersebut berikutan pekerja pembersihan mogok selepas mendakwa kontraktor tidak membayar gaji sejak bulan lalu. -- Bernama

BACA: Angkara mogok, Ketua Hakim jadi 'tukang cuci' di mahkamah