Seorang kontraktor tidak menyangka bunyi yang disangka cermin pecah rupa-rupanya adalah tembakan senjata api yang dilepaskan di ruang tamunya.

Dalam kejadian sekitar 9.50 malam itu, mangsa sedang berada di dalam rumah bersama isterinya di Taman Simpang Murni, Simpang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata mangsa kemudiannya memeriksa ke bahagian luar rumah setelah berasa curiga dengan bunyi tersebut.

"Mangsa kemudian terlihat seorang lelaki dalam gelap menaiki motosikal dan kemudian terus memecut dari kawasan depan rumah.

"Mangsa kemudian memeriksa keadaan rumahnya dan mendapati ada kesan lubang tembakan menembusi cermin pintu 'sliding' dan terus ke almari hiasan di ruang tamu itu," katanya kepada pemberita.

Mangsa dan isteri yang merupakan seorang surirumah, masing-masing berusia 50an, tidak mengalami sebarang kecederaan, tambahnya.

Harrith berkata mangsa kemudiannya membuat aduan kepada polis dan siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah di kawasan semak bahagian lot tepi rumah teres dua tingkat itu.

Katanya, pemeriksaan unit forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menemui kesan tembakan di pagar tepi rumah dan satu kelongsong peluru.

"Bagaimanapun, tiada kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi yang berada di tempat kejadian atau kawasan berhampiran.

"Menurut mangsa yang bekerja membantu di syarikat kontaktor rumah dan menguruskan 50 buah lori milik syarikat, dia tidak mempunyai musuh, tidak berhutang dan tidak terlibat dalam aktiviti salah," katanya lagi.

Menurut Harrith, rumah tersebut hanya didiami oleh mangsa dan isteri beliau.

"Motif kejadian masih belum dikenalpasti dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960," ujarnya lagi.