Pencemaran air, bunyi dan kemusnahan alam. Itu antara kebimbangan sebuah badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar terhadap kesan pembinaan lebuh raya itu ke atas Hutan Simpan Ampang.

Menurut pengarah bersama Treat Every Environment Special (TrEES) Leela Panikkar, lebuh raya dua tingkat itu dipercayai akan merentasi hutan simpan berkenaan, sekali gus menjejaskan alam sekitar di kawasan sensitif itu.

"Apabila lebuh raya dibina, akan ada banyak penerokaan tanah yang pastinya menjejaskan ekosistem sedia ada. Walaupun ia lebuhraya dua tingkat, tidak bermakna tiada kesan kepada hutan berkenaan. Malah ia akan memotong kawasan hutan tersebut.

"Difahamkan lebuh raya itu juga akan merentasi hutan dari arah utara hinggalah selatan, bermakna ia hampir membelah dua hutan simpan berkenaan. Jadi, pastinya ini akan membawa kesan buruk kepada hutan simpan Ampang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


Apa yang pasti, katanya, apa sahaja bentuk pembangunan berhampiran kawasan tadahan air itu bukan hanya merosakkan khazanah alam semula jadi dan habitat kepada ratusan hidupan liar di hutan berkenaan, malah ia turut menjejaskan sumber air bersih.

"Hutan Simpan Ampang adalah hutan yang belum diteroka. Sungainya yang merupakan sumber air di Ampang diklasifikasi sebagai kelas 1 (tahap tertinggi kualiti air) ketika ini. Dengan pembinaan EKVE, hakisan tanah akan berlaku dan ini akan menjejaskan sumber air dan juga hutan itu secara kekal," katanya.

Digazetkan sebagai hutan simpan pada tahun 1913, hutan simpan Ampang merupakan kawasan tadahan air terpenting bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Namun persoalan yang masih belum terjawab termasuk apakah jarak serta jajaran sebenar lebuh raya yang akan merentasi hutan berkenaan.

"Sebelum ini apa yang kita tahu terdapat cadangan mewartakan kawasan seluas 106.55 hektar di Taman Negeri Selangor termasuk Ampang, untuk pembinaan lebuh raya.

"Apakah saiz sebenar hutan yang akan diteroka tidak diketahui. Apakah saiz dan jajaran sebenar lebuh raya juga tiada siapa yang tahu kecuali pihak berkuasa dan syarikat pemegang konsesi," katanya.

Pengarah bersama TrEES, Christa Hashim menarik perhatian orang ramai mempunyai hak untuk membantah dan mempersoalkan pembangunan kontroversi berkenaan.

"Penduduk setempat dan orang awam yang prihatin boleh menyuarakan bantahan mereka dengan menulis surat kepada Menteri Besar dan organisasi media. Mereka juga boleh berkongsi maklumat sesama sendiri di media sosial," katanya.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di Taman Rimba Ampang yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Ampang mendapati notis pemberitahuan telah ditampal untuk memaklumkan penutupan taman itu sehingga 5 Mei 2019 bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya EKVE yang dijangka bermula bulan ini.