Seorang anggota polis berpangkat koperal terpaksa menerima empat jahitan pada bahagian jari kanannya akibat ditoreh dengan kerambit oleh lelaki dipercayai pengedar dadah dalam kejadian di Parit Dalam Sungai Bayor, di sini.

Anggota terbabit mengalami kecederaan kerana bergelut dengan suspek sebelum berjaya memberkasnya pada 3.45 petang itu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, suspek melarikan diri ke dalam hutan paya berhampiran kawasan itu apabila cuba ditahan sepasukan anggota polis dalam Op Tapis Khas.

Menurutnya, anggota polis meminta suspek menyerah diri, tetapi lelaki itu enggan memberi kerjasama sebaliknya berteriak dengan mengeluarkan kata-kata ugutan mahu menikam anggota yang mendekatinya.

“Anggota polis bertindak mendekati suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan dan ditenangkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Sabri berkata, anggota polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah beg silang warna coklat yang dipakai oleh suspek dan menemui dua paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 23 gram dan syabu seberat 0.5 gram.

"Anggota polis turut merampas senjata jenis kerambit dimiliki suspek dan kereta Honda Accord warna hitam yang dinaikinya.

“Pemeriksaan fizikal ke atas suspek juga didapati badan dan mukanya bercalar serta bengkak akibat pergelutan, manakala anggota yang cedera dihantar ke Hospital Selama dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.