Koperasi sekolah digalakkan menyertai program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) yang menawarkan barangan keperluan harian bagi mempelbagaikan produk jualan masing-masing.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata ia sekali gus mampu membantu mana-mana koperasi sekolah yang terjejas kerana tidak beroperasi ketika sekolah ditutup akibat penularan COVID-19.

“Inisiatif ini adalah platform e-dagang yang mengumpulkan belian barang asas secara pukal daripada pembekal dan pengeluar, terus kepada peruncit.

"Kami faham semasa sekolah ditutup aktiviti perniagaan termasuk koperasi sekolah tidak beroperasi, akibatnya mereka terjejas daripada segi pendapatan.

“Koperasi sekolah perlu melihat semula aktiviti-aktiviti yang berpotensi untuk menjana semula pendapatan mereka dengan cepat.

"Program BA100 ini dapat mempelbagaikan produk jualan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Abdul Fattah sebelum ini berkata koperasi berupaya memberikan lanjutan moratorium sekiranya mempunyai sumber dana dan modal yang kukuh.

Dalam pada itu katanya, Angkasa akan memberikan kredit bernilai RM10,000 kepada koperasi sekolah menerusi program tersebut untuk membeli barangan dalam platform e-dagang.

"Terdapat kira-kira 1,000 barangan yang boleh diperolehi daripada program tersebut. Ia juga lebih murah dari pasaran selain mereka boleh membayar balik kredit tersebut selepas sebulan," ujarnya.

BA100 yang mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) merupakan program perniagaan e-dagang yang mengumpul belian barangan asas secara pukal mengikut permintaan di kedai runcit milik koperasi dengan menawarkan barang keperluan harian pada harga lima peratus lebih jimat berbanding pasaran biasa.