Kerajaan Korea Utara memberi jaminan kesemua 11 rakyat Malaysia di Pyongyang selamat dan bebas menjalani kehidupan seperti biasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bagaiamanapun, rakyat Malaysia masih belum dibenarkan meninggalkan negara itu.

"Kita akan berurusan dengan kerajaan DPRK (Korea Utara) supaya cuba mencari penyelesaian dalam konflik yang sedang berlaku ini tanpa membuat sebarang keputusan yang boleh menimbulkan ketegangan yang lebih buruk.

"Saya juga percaya mereka juga ingin kepada penyelesaian," katanya dalam perbualan telefon dengan counsellor (penasihat kedutaan) Mohd Nor Azrin Md Zain di Kedutaan Malaysia di Pyongyang, dari Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.

BACA: Saya tahu anak saya di Pyongyang dalam ketakutan - Ibu Iza

BACA:
Stok makanan halal rakyat Malaysia di Korea Utara terbatas, bertahan kurang seminggu

Beliau berkata Malaysia turut memberikan jaminan keselamatan yang sama kepada rakyat Korea Utara yang berada di negara ini.

Perdana menteri dalam perbualan kira-kira dua minit itu juga sempat bertanyakan khabar dan meninggalkan pesan agar meneruskan semangat dan daya juang yang tinggi.

"Kita semua, kerajaan dan rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kesejahteraan Encik Azrin dan keluarga. Semoga berada dalam keadaan yang selamat semuanya," katanya.

Najib menambah kesemua masjid di seluruh negara telah diarahkan untuk mengadakan solat hajat agar konflik ini dapat diselesaikan.

Mohd Nor Azrin, isterinya Iza Karmila Ramli dan tiga orang anak mereka ; Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah dan Ayscha Zinnirah antara 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara.

Dalam pada itu, Najib dalam twitternya hari ini mengesahkan dua lagi rakyat Malaysia, Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy yang sedang mengikuti Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah dibenarkan keluar dari Pyongyang dan kini telah selamat tiba di Beijing.

-- BERNAMA