Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin komited untuk memastikan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) dalam membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Mengakui ia merupakan proses yang rumit, Nurshirwan bagaimanapun, yakin semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan akan dapat dibawa pulang walaupun berdepan faktor kelewatan dari jadual asal.

Menerusi mesejnya kepada rakyat Malaysia yang menanti kepulangan ke tanah air, beliau berharap mereka akan terus menjaga keselamatan dan kebersihan diri.

"Hari ini adalah hari untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan. Kerajaan Malaysia dan kedutaan telah mengambil segala usaha dan tindakan yang diperlukan bagi memastikan urusan berjalan dengan lancarnya.

"Rakan kedutaan kami di Wuhan akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini dan juga tindakan yang perlu diambil. Usaha yang kami lakukan ini adalah rumit dan kemungkinan berdepan dengan faktor kelewatan dari jadual asal, namun yang pastinya anda (rakyat Malaysia di Wuhan) akan berada di dalam penerbangan tersebut.

"Sentiasa bertenang dan sabar serta pastikan anda boleh sentiasa dihubungi dan terus menjaga keselamatan dan kebersihan diri. Sekiranya semua dipatuhi segalanya akan berjalan dengan baik. Inilah saat dan masanya untuk kita buktikan kepada diri kita dan dunia yang jati diri anak Malaysia yang bersemangat kental dan bersatu hati," katanya yang berkongsi mesej itu bersama wakil media.

Katanya, tumpuan utama pasukan peninjau Kedutaan Besar Malaysia bermula semalam adalah mengoperasikan bilik sekretariat dan berkomunikasi dengan kerajaan tempatan di wilayah Hubei untuk memastikan kelancaran pergerakan rakyat Malaysia.

"Selain itu, mereka juga perlu memastikan urusan logistik terutamanya penyelarasan di lapangan terbang di Wuhan berjalan dengan lancar.

"Kami bersyukur kerana kebanyakan urusan logistik telah berjalan dengan baik hasil perbincangan melalui panggilan telefon antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersama Menteri Luar China, Wang Yi pada petang Sabtu lalu," katanya.