Seorang penjual santan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas dakwaan atas tuduhan dengan niat menimbulkan ketakutan awam berhubung isu koronavirus.

Ia dengan menyebarkan berita palsu berkaitan virus berbahaya koronavirus menerusi laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu Original (GATE).

Bagaimanapun tertuduh Marzuki Abdullah, 40, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat kenyataan mengenai penularan virus itu yang melibatkan kemasukan pesakit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan niat atau mungkin mendatangkan ketakutan kepada orang awam.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 Januari lalu di pangsapuri Ladang Tok Pelam kira-kira jam 8.22 pagi dengan menggunakan akaun Facebook Ali Dapicey.

BACA: Ibu Yati didakwa buat kenyataan di FB berhubung koronavirus

[LAPOR LANGSUNG] Angka kematian mencecah 565 di seluruh dunia

Kenyataan palsu itu dikhuatiri mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dengan peruntukan hukuman penjara tidak sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Nor Nabihah Hanim Ayim.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 3 Mac depan bagi sebutan semula kes itu.

Tertuduh sebelum ini ditahan pada 2 Februari lalu atas kesalahan menyebarkan berita palsu.