Kerajaan menanggung subsidi berjumlah RM12,470 bagi setiap jemaah Haji bagi tahun 2018 atau 1439H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung Tabung Haji (TH) dianggarkan sebanyak RM400 juta berbanding RM300 juta bagi musim haji tahun lalu.

"Kos haji bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM22,450 iaitu peningkatan sebanyak RM2,900 atau 14.8 peratus berbanding kos haji bagi tahun 2017.

"Peningkatan ini tidak memberi impak secara langsung kepada Jemaah haji muasasah. Ini disebabkan kerana bayaran haji kekal sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji sebanyak RM9,980 bagi mereka yang pertama kali menunaikan ibadah haji.

"Berikutan itu subsidi bagi setiap Jemaah haji bagi 2018 ialah sebanyak RM12,470 dan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM400 juta berbanding dengan RM300 juta bagi musim haji tahun lalu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang meminta kerajaan menyatakan persediaan serta persiapan TH bagi menghadapi musim Haji akan datang kesan daripada kenaikan tambang Haji bagi musim Haji 2018 selain berapakah subsisdi yang akan ditanggung oleh TH.

Tambah Jamil Khir, Sistem Haji Pintar yang bakal diperkenalkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melibatkan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi merangkumi penggunaan peranti berteknologi tinggi yang terbaharu, sistem pra-pelepasan imigresen di lapangan terbang, penggunaan sistem kereta api berkelajuan tinggi dan sebagainya.

"Misalnya, penggunaan teknologi seperti Pengenalan Frekuensi Radio (Radio Frequency Identification atau RFID) bagi mempercepatkan urusan jemaah haji di Terminal Haji, di masa yang sama, tempoh menunggu dipendekkan kurang dua jam, yang dijangkakan sehingga sekitar 10 minit," katanya.

Ujarnya, TH sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan Malaysia bersedia dengan sebarang penambahbaikan yang akan dilaksanakan supaya pengurusan haji berjalan lancar.