Peningkatan kos hidup berbanding pendapatan isi rumah yang masih rendah memaksa sesetengah rakyat Malaysia berhutang, kata seorang pakar ekonomi hari ini.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai berkata selain itu mereka juga terpaksa berhutang untuk membeli keperluan hidup yang tidak boleh dielakkan seperti kenderaan, rumah dan kelengkapan lain.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat juga dalam kalangan rakyat yang terpaksa berhutang kerana gemar berbelanja melebihi pendapatan.

Prof Barjoyai berkata walaupun hutang akan meningkatkan kuasa beli rakyat seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara, namun dalam jangka masa panjang ia memberi kesan negatif kepada rakyat.

"Hutang terkumpul akan menyebabkan satu masa nanti generasi tidak mampu membayar hutang mereka.

"Ini kerana komitmen terhadap hutang tanpa disedari mereka telah membelanjakan pendapatan mereka 15 hingga 20 tahun akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama dalam satu tinjauan di sini hari ini.

Sebelum ini Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim berkata pada masa ini paras hutang isi rumah negara adalah 89 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antara yang tertinggi di Asia.

Prof Barjoyai mendedahkan dengan keadaan ekonomi kini, isi rumah negara ini perlu berpendapatan minimum RM6,000 hingga RM7,000 sebulan untuk hidup selesa dan boleh mengharungi peningkatan kos hidup yang sedang berlaku serta kurang berhutang.

Katanya, dengan keadaan rakyat yang 80 peratus masih berpendapatan di bawah jumlah berkenaan, adalah mustahil mereka tidak terjebak ke dalam kancah hutang, dan agak sukar untuk mereka membuat simpanan.

"Kita berharap kerajaan terus komited dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia ke paras sepatutnya seiring dengan sasaran kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau seterusnya menarik perhatian agar institusi kewangan di negara ini mewujudkan sistem pelaburan bersama pengguna berbanding menawarkan pembiayaan seperti sekarang.

"Ini terdapat dalam kaedah pembiayaan Islam. Maknanya ubah konsep berhutang dengan memenuhi keperluan menggunakan kapasiti sedia ada iaitu konsep pelaburan bersama untuk meningkatkan taraf hidup.

"Contohnya, untuk memiliki kenderaan, bank tidak sediakan pembiayaan, sebaliknya sediakan kenderaan dan sewakan kepada pelanggan dengan sedikit elemen keuntungan. Secara prinsipnya pelanggan tidak memiliki kenderaan itu, cukup satu tempoh, kenderaan boleh dijual kepada pelanggan dengan harga berpatutan," katanya.

Katanya, konsep sama boleh dibuat untuk memiliki rumah, barang-barang keperluan rumah seperti penyaman udara, peti sejuk untuk mengelak rakyat membuat pinjaman peribadi atau berhutang dengan syarikat serta dikenakan faedah yang sangat tinggi.

Sementara itu beberapa anak muda berkongsi pendapat sama di mana tekanan ekonomi masa ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan berhutang.

Pegawai perhubungan awam di sebuah hotel swasta, Azlan Naif, 27, berkata pendapatan bulanan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka cenderung untuk berhutang bagi memiliki keperluan termasuk hutang kad kredit.

Katanya, faktor peningkatan harga barang, beban hutang pendidikan dan kos perumahan yang tinggi mendorong hutang isi rumah melonjak tinggi setiap tahun.

"Gaji bulanan sahaja tidak mencukupi, saya sendiri mempunyai kerja sampingan lain. Malah bagi mereka yang bercadang untuk memulakan kehidupan berkeluarga, kos sara hidup yang tinggi juga menjadi faktor utama yang perlu mereka ambil kira," katanya.

Azlan berkata satu inisiatif baru diperlukan bagi mengawal kadar faedah pinjaman yang dikenakan kepada golongan muda yang baru bekerja.

Puteri Nur Anisa, 26, berkata keberhutangan yang serius boleh membuka kepada permasalahan yang lebih besar seperti membuat pinjaman daripada peminjam wang yang tidak berlesen dan masalah muflis.

Katanya, keperluan untuk membayar hutang yang banyak memaksa generasi muda menghabiskan pendapatan mereka ke arah itu.

"Secara peribadi saya tidak mempunyai masalah hutang yang besar, namun terdapat banyak golongan muda di luar sana yang sudah mula terjebak dengan skim pelaburan cepat kaya berikutan tekanan kewangan," kata pekerja di sektor swasta itu.