Kerja menggali kubur suatu masa dahulu dilakukan dengan ikhlas tanpa meminta apa-apa bayaran daripada keluarga si mati, namun kini kos pengendalian pengkebumian jenazah telah meningkat terutama di kawasan-kawasan bandar yang mana tapak tanah perkuburan cukup terhad.

Di bandaraya Kuala Lumpur contohnya, tapak tanah perkuburan turut dijadikan hartanah dengan kos yang boleh mencecah ribuan ringgit bagi setiap liang lahad.

Di sesetengah kawasan, termasuk di pinggir bandaraya Kuala Lumpur, kos untuk menggali dan menimbus mencecah sehingga RM700 untuk setiap jenazah yang dikebumikan dan ia tidak termasuk harga tapak perkuburan yang perlu dibayar.

Bagaimanapun di Alor Setar, Kedah, kos untuk pengkebumian jenazah tidak begitu membimbangkan waris si mati kerana upah menggali kubur dan tapak kubur masih dikadar harga yang munasabah.

Namun yang merungsingkan, tapak tanah perkuburan di sekitar bandaraya itu agak terhad.
Kebanyakan tanah perkuburan di sekitar Alor Setar hanya diberi keutamaan kepada anak-anak kariah masing-masing.

Menyedarinya, bagi menampung keperluan pengkebumian jenazah beragama Islam di sekitar bandaraya Alor Setar, komuniti kariah Masjid Taman Udan Masjid Sultanah Bahiyah bergabung mewujudkan jawatankuasa pengurusan Tanah Perkuburan Islam Taman Uda.


Tanah kubur
Tanah Perkuburan Islam Taman Uda. -AstroAWANI/ADIE

Setiausaha pengurusan jawatankuasa itu, Omar Ahmad berkata, sebuah kawasan tanah seluas 3.2 hektar di Taman Uda, Jalan Sultanah yang terletak kira-kira empat kilometer dari bandaraya Alor Setar telah dibangunkan sebagai tapak perkuburan Islam sejak 2007.

Katanya, tanah itu adalah milik kerajaan negeri Kedah tetapi diserahkan kepada jawatankuasa terbabit bagi menguruskan mana-mana jenazah umat Islam untuk dikebumikan di situ tanpa mengira status anak kariah.

Omar berkata, setiap jenazah yang dikebumikan di situ termasuk anak kariah sendiri akan dikenakan bayaran RM650 bagi setiap liang lahad iaitu atas kadar upah menggali kubur dan urusan batu nesan yang akan disediakan oleh pihak jawatankuasa.

“Batu nisan insyaAllah dalam dua atau tiga minggu siap, dan insyaAllah pihak urusetia akan pasang batu nisan tersebut. Perkuburan ini disediakan dan dibiaya oleh pihak kerajaan negeri Kedah dengan pembelian tanah sembilan ekar dan ditambun dengan tanah merah,” katanya.

Tambah Omar lagi, setiap jenazah yang dikebumikan di situ perlu menggunakan batu nisan yang disediakan oleh pihak jawatankuasa kerana pihak mereka mahu menyeragamkan bentuknya agar sama dengan satu sama lain.

Ini perlu, bagi mengelakkan perbezaan status berdasarkan batu-batu nisan yang menjadi tanda si mati di tanah perkuburan itu.

Omar berkata, pihaknya membahagikan tiga kawasan perkuburan berdasarkan jantina lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah.

Selain penduduk tempatan antara jenazah yang dikebumikan di situ ialah warganegara Myanmar, Bangaladesh, Mualaf dan juga jenazah dari luar Alor Setar.

Kini kira-kira 300 jenazah telah dikebumikan di situ dan Omar menjangkakan kawasan tanah perkuburan terbabit dapat bertahan sehingga 50 tahun lagi.