Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan mengurangkan kuota pelajar tajaannya, namun jumlah pembiayaan mungkin dikurangkan khususnya kepada pelajar perubatan melanjutkan pengajian ke negara yang melibatkan kos tinggi.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya juga mempunyai pelan alternatif dengan lebih selektif menempatkan pelajar tajaannya ke universiti di negara lain yang setara bidang pengajiannya, tetapi dengan kos lebih rendah.

Beliau berkata pelajar perubatan yang menuntut di Ireland, misalnya mungkin dikurangkan dan mereka akan dihantar melanjutkan pengajian perubatan ke negara yang kosnya berpatutan seperti Universiti Bangalore di India dan Universiti Alexandria di Mesir.

"Daripada menghantar pelajar perubatan ke Ireland dengan belanja hampir RM2 juta (seorang), kita tukarkan dengan kaedah lain seperti menghantar mereka ke India atau negara yang setaraf pendidikannya...bezanya kos lebih rendah.

"Kita juga ada alternatif seperti menghantar pelajar perubatan ini ke Universiti Alexandria. Kita ada buat kolaborasi dengan Universiti Sains Malaysia (USM), dan sebuah universiti swasta di Bangalore juga sedang menjalin kerjasama dengan Universiti Sains dan Pengurusan (MSU).

"Melalui kerjasama itu, mereka (MSU dan universiti di Bangalore) bersetuju mengenakan caj pengajian mengikut caj tempatan. Pada masa sama, pelajar terbabit juga mungkin mengikuti pengajian selama dua tahun di MSU sebelum meneruskan baki pengajian di sana (Bangalore)," katanya selepas merasmikan Kolej Antarabangsa MARA Ketengah (MKIC) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasidan Kepenggunaan negeri Roslee Daud, Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Wan Mat Amin Wan Daud.

Dalam pada itu, Annuar berpendapat MARA seharusnya memainkan peranan lebih agresif dalam membantu lembaga-lembaga kemajuan wilayah mewujudkan banyak lagi program berbentuk pembangunan fizikal seperti kerjasama yang dijalinkan bersama Ketengah pada masa ini.

"Dalam hal ini, saya fikir kita ada RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) dan barangkali, MARA boleh menggerakkan usahawannya untuk mengambil peranan memperluaskan perniagaan mereka di sana," katanya.

MKIC adalah satu-satunya kolej menawarkan Program A-Level di bawah urus tadbir subsidiari MARA, yang mana program pelajar cemerlang MARA itu ialah untuk penempatan ke universiti-universiti terkemuka di United Kingdom.

Pada masa ini, sebanyak 189 pelajar mengikuti program di kolej berkenaan yang menawarkan tiga bidang pengajian iaitu perakaunan, seni bina dan ekonomi.