Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang untuk memberikan zakat kepada mahasiswa yang menerima manfaat daripada program Food Bank Siswa tahun hadapan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selain bantuan makanan melalui program Food Bank, sumbangan zakat itu dilihat dapat meringankan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan sumbangan zakat itu daripada agensi di bawah kementerian berkenaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disalur kepada mahasiswa yang layak.

"Kami akan tentukan bilangan penerima selepas berbincang bersama SSM berapa tanggungjawab zakat wajib yang akan mereka keluarkan.

"Bantuan ini penting untuk bantu mereka (mahasiswa) yang memerlukan agar mereka dapat tumpukan kepada pelajaran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi 'Ministerial Talk' dan Pelancaran Mahabbah Food Bank Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Muez Abd Aziz dan Timbalan Rektor UIAM Prof Madya Dr Zulkifli Hasan.

Setakat ini, program itu telah dilancarkan di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk UIAM dan sebanyak 6,470 penuntut menerima manfaat daripada program itu.

Media sebelum ini melaporkan kementerian itu akan memperluaskan program Food Bank Siswa ke 123 kampus institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menjelang 2020.

Laporan itu menyebut Food Bank Siswa itu akan diteruskan ke institusi pengajian tinggi swasta, politeknik dan Institut Pendidikan Guru dengan keutamaan kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah.

-- BERNAMA