Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mengambil langkah proaktif sebagai tanda prihatin kepada keperluan rakyat dengan menawarkan pekerjaan kepada Siti Fatimah Mohd Nor, selepas tular di media sosial beliau menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke sini.

Siti Fatimah, 26, yang merupakan isteri bekas atlet tenis paralimpik negara Firdaus Ibrahim, menerima sendiri surat tawaran sebagai Pekerja Sambilan Harian di pejabat KPDNHEP Perak, daripada Menteri berkenaan Datuk Alexander Nanta Linggi.

Ketika ditemui media Siti Fatimah yang perlu melapor diri pada 22 Jun ini, melahirkan rasa syukur dan akan menggunakan sebaik-baiknya peluang itu untuk menambah pengalaman dalam perkhidmatan awam.

"Memang tak sangka sangat. Saya anggap ini sebagai rezeki yang paling bermakna, selepas mendirikan rumah tangga pada bulan Ogos tahun lalu.

"Terima kasih kepada KPDNHEP kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat bersama mereka," katanya ketika ditemui pada majlis KPDNHEP Prihatin di sini, semalam.

Pada 14 Jun lalu, Siti Fatimah dan Firdaus Ibrahim yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), tular di media sosial selepas beliau dengan rela hati menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Ipoh, semata-mata bagi memastikan urusan perpindahan mereka berjalan lancar.

BACA: 'Banyak kali saya minta maaf' - Isteri tunggang motosikal atas 'highway', ini penjelasan suami

Ketika Siti Fatimah menunggang motosikal, suaminya yang memandu kereta diubah suai untuk keperluan OKU, mengekori rapat daripada belakang bagi memastikan keselamatannya.

Sementara itu, Nanta mengucapkan tahniah atas kesungguhan Siti Fatimah, yang gigih menunggang motosikal untuk satu perjalanan jauh dan berharap wanita itu menggunakan tawaran pekerjaan itu sebaik mungkin.

-- BERNAMA