Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), telah menyiapkan pelan tindakan menyeluruh dan jadual penguatkuasaan bagi memantau kesan pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pelan tindakan itu akan dibentangkan pada mesyuarat pertama Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (MTKSHN) yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hujung bulan ini.

Saifuddin berkata beberapa kementerian lain yang turut terlibat dalam jawatankuasa berkenaan akan mengumpul semua maklum balas pengguna sebelum satu rangka strategi diambil untuk meredakan beban rakyat mengenai peningkatan kos sara hidup selepas pelaksanaan SST.

"Majlis ini bertujuan untuk mengumpul semua maklum balas pengguna bagi merangka strategi.

"Pegawai saya telah siapkan pelan tindakan menyeluruh jadual penguatkuasaan dan operasi yang mereka akan lakukan telah dibentangkan kepada saya," jelasnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata SST dijangka menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM2 bilion berbanding sistem cukai sebelum ini yang berjumlah RM4 bilion.

Biarpun terdapat penurunan dari segi pendapatan kerajaan namun ia memberi gambaran bahawa rakyat mempunyai lebihan duit bagi berbelanja.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan akan mengadakan jelajah penerangan (roadshow) mengenai SST di setiap negeri bermula Isnin ini di Negeri Sembilan.

Jelasnya, ia adalah pembabitan pertama KPDNKK bersama Kementerian Kewangan dalam usaha memberi penerangan kepada rakyat mengenai sistem cukai SST bagi menggantikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ujarnya beliau akan memberi fokus kepada aspek pemantauan harga manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan memperincikan mengenai SST.

Saifuddin berkata demikian selepas melepaskan konvoi 30 kenderaan pada program Konvoi Kesedaran Pengguna di Pangsapuri Ampang Jajar, Butterworth pada pada Sabtu.

Konvoi kesedaran membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah satu usaha menyampaikan maklumat kepada pengguna mengenai sistem cukai baru itu.

Katanya, usaha itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk persatuan penduduk, NGO dan pihaknya.

Menerusi konvoi itu, orang ramai akan dimaklumkan dengan lebih jelas mengenai apa yang terkandung di dalam SST dan barangan yang dikenakan cukai.

Katanya lagi tidak semua barangan dikenakan cukai malah peratusan cukai bagi setiap barangan yang tersenarai juga berbeza.

Pengguna juga boleh mengetahui bahawa kadar SST adalah kosong peratus, lima peratus, enam peratus dan 10 peratus dan berbeza mengikut barangan.