Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk memutuskan kontrak syarikat pengendalian Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M).

Menurut beliau, syarikat yang tidak disebutkan itu gagal menjayakan usaha kerajaan bagi menjual barangan di bawah harga pasaran.

"Bila kerajaan buka KR1M, kita mahu beri harga termurah kepada rakyat, tetapi saya mendapati, harga yang dijual lebih mahal daripada kedai lain.

"Peluang dah diberikan, malah kerajaan turut beri peruntukan kepada syarikat tersebut bagi membolehkannya menjual di bawah harga pasaran.

"Syarikat tu cakap dia rugi dalam mengendalikan KR1M, jadi kita minta tukar syarikat lain demi kepentingan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat.

Dalam ucapan sama beliau turut memberitahu, usaha mengurangkan beban kos pengangkutan dilihat menampakkan hasil apabila kadar penumpang yang menggunakan MRT SBK melebihi 100,000.

"Kadar kereta yang masuk ke Lembah Klang menurun 20 peratus sejak MRT SBK dilaksanakan sebab kosnya lebih murah," katanya.