Kekurangan bekalan minyak masak di beberapa negeri ketika ini disebabkan kegagalan syarikat pembungkusan mengemukakan dokumen lengkap bagi proses tuntutan subsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi menyelesaikan isu pembayaran subsidi kepada syarikat terbabit.

"Ada sedikit masalah teknikal seperti borang (tuntutan daripada syarikat pembungkusan) tidak lengkap.

"Saya sudah pun berbincang dengan Menteri Kewangan II untuk membantu masalah ini, KPDNKK akan ambil alih untuk menyelesaikan dan membayar terus kepada syarikat pembungkusan," katanya.

BACA: KPDNKK bekerjasama dengan SKMM tangani budaya 'berita tergempar'

BACA:
Kerajaan tidak keluarkan notis kenaikan harga minyak kepada peniaga - Hamzah Zainuddin

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu kekurangan minyak masak di pasaran selepas menyampaikan amanat 2017 kepada gerakan koperasi, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dekat sini hari ini.

Semalam, KPDNKK turut mengarahkan 48 pasar raya di Kelantan mengehadkan pembelian minyak masak bersubsidi kepada dua kilogram seorang bagi mengatasi kekurangan bekalan bahan asas itu di pasaran ketika ini.

-- BERNAMA