Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan surat arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenal pasti premis khas penjualan arak selain meningkatkan penguatkuasaan ke atas aktiviti itu.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, ini kerana kementerian melihat wujudnya keperluan untuk melihat semula penjualan arak di kedai runcit kerana kesan negatif kepada masyarakat.

"Untuk makluman, kementerian menerusi PBT hanya mengeluarkan lesen premis perniagaan di bawah undang-undang kecil dan selepas permohonan memenuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri, pejabat daerah, polis, kastam.

"Lesen penjualan arak adalah di bawah kastam Kementerian Kewangan. Ini bukan persoalan berkaitan dengan keagamaan kerana Islam melarang umatnya meminum arak dan saya fikir agama-agama lain juga bersetuju kerana kesan negatif arak kepada peminum dan orang di sekelilingnya," katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Azis Jamman (Warisan - Sepanggar) mengenai tindakan kerajaan untuk melihat semula penjualan arak di kedai-kedai runcit.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan daripada Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu), sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan pasukan khas untuk memastikan undang-undang dipatuhi sama seperti dalam isu dadah, Ismail berkata, beliau yakin disebabkan oleh kesan tabiat mabuk sama ada kepada pemandu dan pelbagai insiden melibatkan orang awam, kerajaan akan menubuhkannya.

Ini kerana katanya, sejak 2015 hingga 2020 kes melibatkan individu mabuk dilihat meningkat di mana pada 2016 sebanyak 161 kes; 139 kes (2019) dan 2020 bermula Januari hingga Jun sebanyak 155 kes.

"Sementara itu dalam tempoh itu, sebanyak 71 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

"Saya yakin bahawa kerajaan melihat ini sesuatu yang serius dan berpendapat akan menubuhkan pasukan khas bagi memastikan soal pengambilan arak dan kesan kepada orang sekeliling diberikan perhatian serius," katanya.