Kerajaan mempertimbang untuk menubuhkan Suruhanjaya Perjawatan Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berfungsi sebagai badan bebas untuk melantik, menyusun semula perjawatan dan menyerap anggota bomba sambilan sebagai bomba sepenuh masa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ia seiring usaha kerajaan dalam memartabatkan karier tersebut selain suntikan motivasi kepada anggota untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang.

“Tugas mereka kini umpama ‘social rescue’ yang mana kita lihat isu seperti ular masuk rumah, tersepit dekat lif, kucing panjat pokok tidak boleh turun, cincin di jari tak boleh keluar dan sebagainya.

“Oleh kerana itu kita melihat bomba perlu dinaik taraf seperti institusi lain - tentera dan polis. KPKT sedang kaji dan merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya Perjawatan Bomba yang mana mereka akan bebas buat pelantikan, penggantian perjawatan dan menyerap anggota bantuan untuk jadi anggota sepenuh masa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) yang bertanyakan berkenaan usaha kerajaan menjaga kebajikan anggota bomba dan memartabat institusi penyelamatan itu.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata pihaknya akan terus memastikan aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan warga anggota bomba sentiasa dijaga dan terpelihara dengan mengkaji beberapa keperluan lain termasuk elaun tugas pasukan khas serta kadar Bayaran Insentif Bomba yang bertugas secara syif.