Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka strategi dalam menambah baik kualiti dan kehidupan sosial terutama dalam kalangan penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menurut menterinya, Tan Sri Noh Omar, inisiatif itu merangkumi usaha mewujudkan sistem kejiranan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Apabila sampai satu masa, kita tak boleh buat rumah biasa sahaja.

“Seperti yang kita cadangkan seperti mewujudkan bilik kaunselor seperti di rumah-rumah kos rendah termasuk PPR.

“Mereka yang duduk dalam bandar ini masing-masing sibuk. Jadi kita kena fikirkan pendekatan baru,” jelasnya.

Tambah Noh, langkah proaktif itu sekaligus akan membentuk kelompok masyarakat kejiranan yang dinamik.

“Ini akan mewujudkan kejiranan yang baik, dalam pemikiran yang positif dan tidak mementingkan diri.

“Ini budaya yang kita nak tanamkan dalam kalangan masyarakat bandar terutama di PPR,” ujarnya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan penutupan Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.