Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran menjalankan satu penilaian holistik terhadap keberkesanan projek perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 berikutan pelaksanaannya sebelum ini, disifatkan tidak menyeluruh.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) kepada semua sekolah di bawah KPM.

"Bagaimanapun, tahap penggunaannya masih tidak menyeluruh berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan penggunaan Frog VLE yang rendah; penggunaan masih terhad dalam makmal dan waktu sekolah serta tiada penyampaian maklumat berkesan kepada ibu bapa mengenai manfaat VLE dalam perkembangan pendidikan anak," demikian menurut laporan itu yang dikeluarkan pada Isnin.

Audit dijalankan pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan bahawa 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018, manakala hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru telah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.

Terdapat pembayaran berjumlah RM1.69 juta untuk perkhidmatan Frog VLE dibuat kepada 35 daripada 10,185 sekolah, sedangkan 35 sekolah itu tidak pernah menggunakan Frog VLE bagi tempoh Julai 2016 hingga November 2018.

Laporan audit itu juga mendapati sasaran pengaktifan ID VLE oleh ibu bapa di bawah program Pengurusan Perubahan terhadap 8,094 daripada 8,551 sekolah yang dilawati, turut tidak tercapai.

KPM juga didapati tidak mempertimbangkan cadangan Makmal Pengurusan Nilai berkaitan pelaksanaan VLE secara rintis di 400 sekolah, selain kekurangan bahan pembelajaran dalam Frog VLE bagi skema mata pelajaran kolej vokasional.

Justeru, laporan itu mencadangkan dasar secara holistik dan kaedah digital dalam PdP perlu disediakan dengan jelas oleh KPM serta menyediakan pendekatan pelaksanaan dan aplikasi PdP yang lebih mesra guru memandangkan golongan itu adalah ejen kepada hasrat pendigitalan dalam pendidikan.

BACA: 1BestariNet: Kos tersembunyi antara faktor tawaran YTLC ditolak - KPM

1BestariNet adalah inisiatif KPM dalam menyediakan kemudahan PdP untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan dan penyampaian pembelajaran.

Kontrak bernilai RM663 juta ditandatangani pada 7 Mei 2012 untuk pelaksanaannya di 10,000 sekolah bagi tempoh dua tahun enam bulan mulai 13 Dis 2011 hingga 12 Jun 2014, dengan dua perjanjian tambahan ditandatangani melibatkan pertambahan kos berjumlah RM2.09 juta.

Setelah tamat tempoh kontrak, tujuh perjanjian tambahan berjumlah RM497.26 juta ditandatangani antara KPM dan kontraktor bagi tempoh 13 Jun 2014 hingga 30 Jun 2016.

Seterusnya, KPM meneruskan perkhidmatan 1BestariNet kepada fasa dua, setelah cadangannya diluluskan Kementerian Kewangan dengan kos berjumlah RM1.55 bilion bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019.

1BestariNet Fasa 2 dijangka berupaya menyokong sepenuhnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan menyediakan satu persekitaran PdP dan dibantu teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang tidak dibatasi oleh ruang dan waktu persekolahan formal.

Selain itu, perkhidmatan 1BestariNet dapat merapatkan jurang digital dalam bidang PdP antara sekolah bandar dan luar bandar serta menyediakan media penyaluran maklumat dan perkongsian sumber.

-- BERNAMA