Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius laporan akhbar dan juga perbincangan secara meluas di media sosial mengenai seorang pensyarah Kolej Komuniti Betong, Sarawak yang dikatakan telah mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina negeri Sarawak di dalam akaun Facebook beliau.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh KPM, perbuatan tersebut telah menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati di kalangan rakyat Sarawak terhadap pensyarah berkenaan dan boleh mengugat perpaduan negara.

"KPM amat memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial dalam kalangan penjawat awam khususnya di Kementerian termasuklah daripada kalangan pensyarah, guru dan pendidik," menurut kenyataan akhbar itu.

Sehubungan itu, KPM sedang membuat siasatan terperinci mengenai kes ini dan akan mengenakan tindakan tegas yang sewajarnya kepada pensyarah berkenaan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993-P.U.(A) 395/1993 sekiranya dan terbukti telah melakukan kesalahan.

Pada 5 Mei lalu, seorang pensyarah Kolej Komuniti Betong, yang dikatakan menggunakan nama Jonathan Joseph telah meluahkan cacian dan makian berbaur penghinaan kepada negeri Sarawak di halaman laman sosial Facebook miliknya.

Dia dipercayai melemparkan caci nista itu kerana kegagalannya berpindah tempat mengajar dari Sarawak.