Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan campur tangan untuk menjadi pengantara antara Universiti Malaya (UM) dengan seorang graduan yang menunjukkan tanda protes pada sidang istiadat konvokesyen universiti itu, minggu lalu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, berkata KPM menghormati kuasa autonomi universiti dan mempercayai UM mampu mengendalikan isu tersebut.

"Saya telahpun memberitahu kepada timbalan (Teo Nie Ching) saya bahawa kita tidak akan terlibat (campur tangan) dalam hal ini. Proses mediasi pula hanya akan dibuat sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.

"Jadi, buat sementara ini, kita menyerahkan kepada UM sebab kita percaya kepada kuasa autonomi dan kita tidak mahu campur tangan politik. Kita biarkan mereka menguruskannya senidiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM) di Gombak, di sini, pada Rabu.

Pada 14 Oktober lepas, graduan berusia 23 tahun Wong Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM bagi mendesak naib canselor universiti itu meletakkan jawatan selepas menerima ijazahnya.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradap.

-- BERNAMA