Polis berjaya menyelesaikan 10 kes membabitkan kejadian bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan dengan tertumpasnya lima penjenayah yang juga ahli kongsi gelap dalam kejadian berbalas tembakan di Pulau Pinang awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah pangsapuri di Sungai Nibong itu mendapati kelima-lima penjenayah terbabit mempunyai kaitan dengan beberapa kes bunuh dan cubaan membunuh.

Ia berdasarkan ujian yang dilakukan ke atas senjata api yang ditemui bersama-sama mereka di pangsapuri yang disewa kumpulan berkenaan.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi tu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bahagian Siasatan Khas (D9) Pulau Pinang dengan bantuan JSJ D9 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta D9 Kedah, bertindak menyerbu sebuah apartmen sewaan di Century Bay di Sungai Nibong setelah melakukan intipan.

“Kami percaya kami dapat selesaikan tujuh kes bunuh dan dua kes cuba bunuh di Pulau Pinang, dua kes bunuh di Kedah dan satu kes bunuh di Negeri Sembilan.

“Semasa serbuan, pasukan kami telah disambut dengan beberapa tembakan dan dalam mempertahankan pasukan polis, lima orang di antara lingkungan usia 23 ke 27 telah ditembak.

“Kami juga telah merampas tiga pucuk pistol,” kata Khalid pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Georegtown petang tadi.

Khalid berkata mereka yang maut mempunyai rekod jenayah lampau dan terlibat dengan beberapa kes termasuk menjadi pembunuh upahan , cubaan bunuh dan kes dendam.

Sehubungan itu, Khalid berkata polis akan mencari saki baki ahli kumpulan kongsi gelap yang masih bebas dan percaya geng terbabit akan dapat ditumpaskan.

Dalam pada itu, Khalid berkata seramai 200 individu telah ditahan dalam Ops Cantas yang dilancarkan polis sejak Sabtu lalu dan kesemua mereka ini akan didakwa di Bawah Akta Pencegahan Jenayah.