Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT - Program Kemajuan Kerjaya (KPT-CAP) yang dilaksana bagi menangani isu graduan mengganggur akan dilancarkan pada 28 September ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, PENJANA KPT-CAP adalah satu program peningkatan kemahiran jangka pendek dan sederhana bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memberikan nilai tambah melalui pensijilan profesional.

"Menerusinya, kementerian akan memberi fokus kepada isu kebolehpasaran graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi agar dapat memenuhi keperluan industri dan hasrat kerajaan dalam pembangunan negara.

"Terdapat tiga program utama yang akan diterajui oleh KPT di bawah peruntukan PENJANA ini iaitu 'Place & Train', program keusahawanan dan ekonomi gig.

"PENJANA KPT-CAP adalah suatu manifestasi kepada komitmen Kementerian untuk menzahirkan graduan yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Selasa.

Majlis pelancaran KPT-CAP dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini menerima peruntukan RM100 juta di bawah PENJANA dengan dana itu digunakan untuk memberi fokus dalam menangani isu graduan mengganggur.

Selain penerimaan dana itu, KPT juga menjalinkan kerjasama dengan kementerian lain dan pihak industri dalam menangani masalah pengangguran selain memastikan kebolehpasaran graduan.