Kerajaan akan terus komited mempertingkatkan peranan wanita dalam pendidikan tinggi.

Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata ini penting bagi menunjukkan keseimbangan antara lelaki dan wanita dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, menerusi sektor pekerjaan pula kaum wanita kini diberi lebih banyak peluang untuk terus aktif dalam Industri Revolusi 4.0 di mana mereka boleh bekerja terus dari rumah.

Selain itu, beliau menjelaskan lelaki tidak seharusnya berasa tergugat dengan pencapaian wanita dalam apa jua bidang sekalipun kerana kaum wanita seharusnya diberikan peluang yang sama rata demi mengimbangi pencapaian bersama.

“Kita lihat perimbangan peningkatan wanita itu perlu dipertingkatkan agar wujud keseimbangan agar wanita-wanita yang bergraduan yang mempunyai kepakaran juga diberi perimbangan dan peluang untuk bekerja dan tak boleh melihat sebagai satu ancaman,” katanya.

Pada masa sama, bagi menyahut seruan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan 2018 sebagai tahun memperkasakan wanita, pihak KPT menambah jumlah pekerja wanita dalam sektor pengurusan kementerian.

Ini dibuktikan dengan pelantikan Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai timbalan menteri dan Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur sebagai ketua setiausaha kementerian di mana kedua-dua mereka merupakan wanita pertama memegang kedua-dua portfolio itu.

Datuk Seri Idris Jusoh ditemui selepas menyempurnakan program 'Keeping in Touch #Mywomen in Higher Education' yang diadakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.