Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak mempunyai sebarang halangan bagi semua pelajar yang berada di luar negara untuk pulang ke tanah air.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bagaimanapun semua urusan dan kos adalah di bawah tanggungan dan tanggungjawab pelajar atau keluarga masing-masing.

"Sekiranya ada yang bercadang untuk berbuat demikian, mereka harus memaklumkan kepada wakil-wakil pelajar Malaysia dan kedutaan di negara pengajian masing-masing.

"Semua pelajar yang tiba di tanah air perlu melalui saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara sebelum dikuarantin selama 14 hari di pusat yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam hantara di akaun Facebook peribadinya pada Jumaat.


Seramai 310 pelajar Malaysia dari Indonesia menjadi kumpulan pertama yang dibawa pulang ke negara ini dan ditempatkan di Institut Aminuddin Baki, Nilai bagi menjalani proses kuarantin selama 14 hari pada Khamis.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, langkah tersebut adalah program yang diselaraskan KPT bersama beberapa kementerian, kerajaan negeri dan pihak swasta.

Dalam pada itu, Noraini berkata, KPT mengambil berat bukan sahaja kesihatan fizikal malah mental pelajar berkenaan.

"Oleh itu, satu program rangsangan emosi telah digarap dengan menyediakan pasukan kaunselor dan asatizah dari universiti-universiti tempatan sebagai satu sistem sokongan dan ditempatkan di pusat kuarantin.

"Ini kerana, semua pelajar hanya akan dibenarkan pulang ke rumah selepas tamat tempoh kuarantin dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan kepada semua pelajar yang masih berada di luar negara untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing.

"Saya harap semua pelajar di luar negara untuk terus mematuhi arahan pihak universiti dan pihak kerajaan tempatan di negara masing-masing serta mengikuti perkembangan terkini yang sahih berkaitan perkara ini," ujar beliau lagi.