KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menyemak semula dasar sedia ada berkaitan kanak-kanak bagi membangunkan satu dasar kanak-kanak negara yang lebih komprehensif.

Timbalan Menteri Aiman Athirah Sabu berkata antara dasar yang sedang disemak semula ialah Dasar Kanak-Kanak Negara, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dan elemen berkaitan kanak-kanak dalam Dasar Pendidikan Kesihatan Dan Reproduktif Sosial.

Beliau berkata satu pelan tindakan baharu juga akan dibangunkan bagi mengiringi dasar baharu berkenaan yang antara lain akan menggariskan panduan bagi mengukuhkan tadbir urus, dasar perundangan dan penyampaian perkhidmatan kepada kanak-kanak.

"Ia juga akan merangkumi agensi-agensi pelaksana di peringkat Persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan, sokongan komuniti dan kerjasama semua badan bukan kerajaan perlu diperkasakan demi kepentingan yang terbaik kanak-kanak," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tambahan Senator Ros Suryati Alang yang ingin tahu usaha kerajaan untuk menambah baik akta-akta sedia ada untuk memberi perlindungan secara menyeluruh kepada kanak-kanak.

-- BERNAMA