Kren tumbang: JKKP keluarkan notis henti kerja

Kren tumbang: JKKP keluarkan notis henti kerja
Seorang pekerja maut manakala tiga lagi cedera parah selepas satu kren menara tumbang di sebuah tapak pembinaan dekat Seksyen 7, Shah Alam pagi tadi. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta ke atas aktiviti pembinaan di sebuah tapak pembinaan dekat Seksyen 7, Shah Alam.

Ia susulan kemalangan melibatkan kren menara tumbang yang menyebabkan seorang pekerja maut manakala tiga orang lagi pekerja cedera parah.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat JKKP, arahan pemberhentian kerja serta-merta itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak JKKP menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian berlaku.
"Hasil siasatan awal mendapati terdapat kegagalan dalam struktur jentera dan pihak JKKP akan menjalankan siasatan lanjut.

"Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994), kontraktor utama sebagai majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan penggunaan kren menara di tapak pembinaan," memetik kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Mengikut Akta Kilang dan Jentera (1967), setiap kren menara yang dipasang, diselenggara dan dirombak hendaklah dilakukan oleh syarikat kompetan yang berdaftar dengan JKKP.

Malah, syarikat kompetan ini hendaklah dilantik oleh kontraktor utama untuk menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala, mengikut spesifikasi syarikat pembuat kren menara bagi memastikan kren berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

JKKP menegaskan, pihaknya memandang serius terhadap setiap insiden yang berlaku dan akan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang oleh pihak yang bertanggungjawab.

Selain itu, JKKP juga akan sentiasa dari semasa ke semasa menyemak dan menambah baik prosedur kerja selamat sekiranya perlu bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam terjamin.