Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga kini belum menerima sebarang perkembangan mengenai status pembayaran wang pampasan kepada jemaah yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada musim haji September 2015.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun berkata TH sentiasa memantau dan berhubung dengan kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan perkembangan semasa mengenai perkara tersebut.

"Bayaran pampasan berhubung insiden tersebut adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi. TH telah menyerahkan senarai nama jemaah yang terlibat kepada kerajaan Arab Saudi untuk tujuan pampasan.

"TH sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi dan akan memaklumkan sekiranya terdapat perkembangan terkini daripada pihak terbabit," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang ingin tahu mengenai status pemberian pampasan kepada jemaah yang terlibat dalam tragedi tersebut dua tahun lepas.

Dalam kejadian 11 Sept 2015 itu, tujuh warga Malaysia adalah antara lebih 100 jemaah haji yang terkorban, manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai sumbangan TH terhadap mangsa terlibat, Asyraf Wajdi berkata TH telah menyumbangkan sejumlah RM43,000 kepada keluarga setiap mangsa.

"Dalam masa tidak sampai seminggu selepas insiden itu, TH menyerahkan wang perlindungan Takaful sebanyak RM20,000, khairat kematian (RM3,000) dan sumbangan wang ihsan (RM20,000)," katanya.

-- BERNAMA