Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab jika terdapat unsur kecuaian atau perlanggaran peraturan dalam kejadian kren tumbang di tapak pembinaan Pangsapuri Legasi Kampung Baru di Kuala Lumpur semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata buat masa ini siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sedang dijalankan dan pihak kementerian telah meminta supaya perkara itu diberi keutamaan.

"Siasatan dilakukan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan telah bermula sejak semalam. Antara yang dilakukan ialah mengambil sampel untuk dihantar ke makmal, dokumen berkaitan dan merakam kenyataan saksi.

"Kita akan meneliti laporan yang akan dikeluarkan dan selepas itu merujuk kepada penasihat undang-undang untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan wang ihsan banjir untuk Parlimen Maran di Dewan Arena Chenor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, sebuah kren setinggi 24 meter di tapak pembinaan itu tumbang mengakibatkan tiga cedera selain beberapa buah kenderaan rosak akibat terkena libasan kabel yang putus.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Maran, menambah antara tindakan yang boleh diambil sekiranya terbukti berlaku kecuaian ialah mengikut Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara dua tahun.

Tindakan juga boleh dilakukan mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM250,000 atau penjara dua tahun, katanya.

Ismail turut mengingatkan pemaju dan pengendali kren agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek keselamatan dalam pengendalian mesin atau jentera di tapak pembinaan.

"Jentera ini mesti dikendalikan mengikut prosedur yang ditetapkan dan majikan perlu memastikan pengendali kren mempunyai kelayakan, tidak menggunakan perkhidmatan warga asing dan mempunyai pegawai keselamatan dan kesihatan bertauliah.

"Jangan hanya memikirkan keuntungan dalam pelaksanaan sesuatu projek sebaliknya aspek keselamatan dan kesihatan perlu dipatuhi dan diberikan keutamaan," katanya.

-- BERNAMA