Sejumlah 761 projek pembangunan baharu di Selangor masih belum diluluskan susulan krisis bekalan air di negeri itu yang semakin meruncing.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata penangguhan itu berlaku akibat ketidakmampuan kerajaan Selangor dalam menyediakan keperluan 467 juta liter air sehari bagi semua projek terbabit.

Katanya, 305 projek atau 40 peratus daripada keseluruhan projek itu adalah membabitkan projek pembangunan perumahan pangsapuri dan teres.

"Kementerian ada menerima rungutan dan rasa tidak puas hati daripada pihak pemaju kerana perlu memohon lanjutan masa (EOT) bagi memajukan pembangunan projek yang dirancang disebabkan tiada bekalan air.

"Mengikut Akta 118, pemaju dibenarkan untuk mengemukakan permohonan EOT bagi pelaksanaan sesuatu projek perumahan bagi mengelakkan dari dikenakan denda lewat serahan milikan kosong.

"Antara faktor permohonan EOT adalah seperti kelewatan kelulusan bekalan air oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas) walaupun kebenaran merancang telah pun diluluskan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) yang bertanya mengenai rungutan pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek kerana krisis air di Selangor.

Noh pada masa sama turut membidas Ahli Parlimen Gombak yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerana berkeras menafikan wujudnya krisis air di negeri itu.