Malaysia tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak di kalangan negara Timur Tengah ketika beberapa negara Arab mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penting bagi negara ini untuk menjaga hubungan dengan kerajaan-kerajaan di Timur Tengah dalam menangani kemelut Daish di rantau ini.

"Perpaduan ummah itu sangat penting. Maka, tiada sebab untuk kita memilih pihak di Timur Tengah, sama ada Qatar atau negara Arab yang tidak bersetuju dengan mereka.

"Jika perbalahan antara negara berkenaan tercetus dan menjadi lebih teruk, kumpulan radikal seperti Daish akan mendapat jalan mudah bagi menumbangkan ummah," katanya.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Cheras di sini, hari ini.

Pada bulan lalu, tujuh negara Arab termasuk Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yaman dan Bahrain, bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Kesemua negara berkenaan menuduh Qatar menyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin dan beberapa kumpulan ekstremis lain.

Sementara itu, mengulas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, Hishammuddin menyifatkan ia satu tindakan wajar.

Beliau turut mengecam tindakan DAP yang dikatakan menuding jari kepada Barisan Nasional berhubung perkara tersebut sedangkan ia merupakan isu dalaman parti itu sendiri.

“Ini masalah dalaman mereka, perkara ini telah dibawa oleh anggota-anggota DAP sendiri dan dibangkitkan dari dulu lagi tetapi pucuk pemimpin mereka berdiam diri," katanya.

Katanya DAP yang mendakwa memperjuangkan prinsip demokrasi seharusnya tidak menutup suara akar umbi parti tersebut yang mahukan pemilihan semula CEC.

"Sebelum ini mereka kata mereka memperjuangkan demokrasi. Kenapa takut sangat buat pemilihan semula jawatankuasa mereka? Jangan ambil kesempatan ini untuk menuding jari ke BN dan UMNO.

“Kalau betul tidak ada sesuatu yang tidak kena, mengapa mereka takut sangat nak adakan pemilihan semula. Jika mereka tidak ada sembunyikan apa-apa, lakukan segera,” katanya.

Pada Jumaat, ROS mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula ahli CEC yang baharu bagi memilih 20 orang anggota yang sah, susulan tindakannya memutuskan pemilihan semula pada 29 September 2013 lalu tidak sah dari segi undang-undang.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP akan mengadakan mesyuarat dengan ROS berhubung arahan supaya parti itu mengadakan pemilihan semula CEC selepas menerima surat rasmi daripada jabatan tersebut.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata soal pemilihan semula CEC tidak timbul kerana DAP telah mengadakan pemilihan semula CEC pada September 2013 dan keputusan pemilihan telah dikemukakan kepada ROS pada November 2013.