Pelarian etnik Rohingya yang semakin ramai di Malaysia memaksa Malaysia campur tangan dalam menangani krisis di Rakhine, Myanmar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam isu dalaman negara-negara lain, namun isu Rohingya kini terpalit kepada Malaysia.

“Kita telah bersetuju iaitu kita tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara ASEAN, tetapi apa yang berlaku kini mempunyai kesan ke atas kita.

“Ini kerana ramai orang Rohingnya yang lari, dan ramai mereka datang ke Malaysia. Ia kini menjadi masalah kepada Malaysia.

“Sebab itu kita perlu menegaskan kepada Myanmar bahawa cara mereka tadbir orang Rohingya ini patut dibetulkan. Kalau mereka tidak melakukan sesuatu, yang akan menerima beban ialah negara-negara ASEAN yang lain,” ujar beliau ujar beliau pada sidang media mengakhiri lawatan dua hari di Thailand hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) lalu, Dr Mahathir serta beberapa pemimpin dunia lain dengan lantang mengkritik pentadbiran Aung San Suu Kyi apabila bukan sahaja gagal menangani krisis Rohingya, tetapi juga memberi tekanan termasuk membunuh etnik itu.