Dakwaan yang mengatakan 100 warga Malaysia terperangkap dalam krisis keganasan di Sudan Selatan yang berlaku sejak Ahad lalu adalah tidak benar sama sekali.

Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan situasi di sana juga terkawal.

Sumber Kementerian Luar Negara memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa jumlah warga Malaysia yang bekerja dan menetap disana tidaklah mencecah sehingga 100 orang tetapi hanya sekitar 60 hingga 70 orang sahaja.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima dari wakil kami di Khartoum dan Nairobi menyatakan kebanyakkan mereka bekerja dengan sebuah syarikat petroleum negara dan firma swasta. Tiada masalah keselamatan dan mereka sedang berada di kediaman-kediaman dan hotel-hotel sekitar Juba,”.

Dakwaan warga Malaysia itu terperangkap timbul apabila Lapangan Terbang Sudan Selatan di Juba terpaksa ditutup oleh pihak berkuasa memaksa pelbagai jadual penerbangan dibatalkan.

“Ianya ditutup dipercayai kerana berlaku kejadian tembak-menembak antara pihak berkuasa dan pemberontak dan ini juga untuk memastikan mereka tidak lari dari Sudan Selatan,".

Namun, lapangan terbang tersebut kini telah pun dibuka termasuk premis-premis perniagaan dan tiada masalah bagi warga Malaysia untuk keluar dari Sudan Selatan menuju ke destinasi mereka.

Wakil-wakil Kementerian Luar Negara melalui kedutaan sedang memantau keadaan semasa di negara tersebut.

Pertempuran membabitkan penyokong Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir dan penyokong mantan Naib Presiden, Riek Machar berlaku sejak Ahad lalu yang mengakibatkan 500 orang terkorban manakala 800 yang lainnya cedera.

Pertempuran bermula apabila penyokong Machar melepaskan tembakan ketika mesyuarat parti pemerintah negara, Pergerakkan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM) itu berlangsung.

Pergolakan tersebut juga dianggap sebagai persengketaan etnik melibatkan etnik Dinka yang rata-ratanya adalah penyokong Kiir dan etnik Nuer yang tegar menyokong Machar.