Berikut kronologi perkembangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 dan penerbangan MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014, sepanjang 2015:


MH370:

29 Jan - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman secara rasmi mengisytiharkan MH370 sebagai kemalangan, menurut Standards of Annexes 12 dan 13 Konvensyen Chicago dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap telah terkorban.

18 Jun - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia akan meneruskan fasa kedua misi mencari MH370 membabitkan hanya dua kapal di kawasan terpencil di Lautan Hindi. Fasa pertama berakhir pada bulan sama dengan kawasan pencarian yang diliputi lebih 52,000 kilometer persegi.

29 Julai - Seorang tukang bersih pantai di Pulau Reunion di Lautan Hindi menemukan serpihan sayap pesawat sepanjang 2.7 meter dipanggil 'flaperon' yang pakar percaya adalah milik Boeing 777. MH370 merupakan satu-satunya pesawat Boeing yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.

6 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengesahkan flaperon ditemukan di Pulau Reunion adalah daripada MH370 yang hilang.

3 Sept - Pasukan penyiasat Perancis mengesahkan "dengan pasti" bahawa flaperon pesawat ditemukan pada 29 Julai adalah milik Penerbangan MH370, berdasarkan nombor siri yang sepadan dengan rekod syarikat Sepanyol yang mengeluarkan bahagian flaperon.

5 Sept - Malaysia mengumumkan ia akan meneruskan misi mencari di kawasan penerbangan MH370 dikatakan hilang di Lautan Hindi di sebalik pengesahan Perancis bahawa flaperon ditemukan di Pulau Reunion dalam wilayah Perancis,
adalah milik pesawat itu.

29 Sept - Malaysia, China dan Australia mengesahkan pada mesyuarat tiga pihak di Beijing yang mereka kekal komited untuk mengesan lokasi pesawat MH370.

9 Dis - Kapal ketiga, Havila Harmony, menyertai misi mencari pesawat MH370 di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC). Menurutnya lebih 75,000 kilometer persegi kawasan dasar laut telah diliputi dalam misi mencari itu setakat ini.


MH17:

18 Feb - Draf resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Ukraine mengulangi penegasan mendesak kebertanggungjawaban pihak-pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

19 Mei - Pasukan penyiasat antarabangsa Lembaga Keselamatan Belanda kini menumpukan pada analisis kesahihan fakta yang dibekalkan media berhubung kelengahan dalam penyiasatan tragedi pesawat MH17 terhempas.

10 Julai - Malaysia menerima laporan penyiasatan tragedi MH17 oleh pihak berkuasa Belanda. Kerajaan menyatakan ia perlukan anggaran 60 hari untuk meneliti laporan itu sebelum memberikan maklum balas kepada pihak berkuasa Belanda.

11 Julai - Malaysia mengadakan upacara memperingati tragedi MH17 selepas setahun berlalu.

14 Julai - Negara-negara yang terbabit dalam penyiasatan bebas terhadap insiden penembakan MH17 iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine meminta Majlis Keselamatan PBB menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa untuk membicarakan pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah berkaitan penembakan pesawat itu yang berlaku di ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014 dan mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

17 Julai - Di Belanda dan negara-negara lain, anggota keluarga mangsa MH17 menyertai upacara memperingati yang berlangsung dalam suasana penuh beremosi. Britain menggesa penubuhan tribunal antarabangsa untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab.

29 Julai - Rusia menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB, didraf oleh Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, bagi penubuhan tribunal.

24 Ogos - Malaysia mengemukakan maklum balas berhubung laporan tragedi pesawat MH17 terhempas kepada pasukan penyiasat Belanda, menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

13 Okt - Malaysia menerima laporan akhir insiden MH17 disediakan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat tragedi itu.

13 Okt - Lembaga Keselamatan Belanda dalam laporan akhir itu mengesahkan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu daratan ke udara BUK dan peluru berpandu itu meletup di sebelah kiri kokpit pesawat itu.

2 Nov - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan sehingga Oktober tahun ini, kerajaan telah membelanjakan US$53.81 juta (RM231.5 juta) untuk operasi mengesan MH370 dan US$2.99 juta (RM12.9 juta) bagi MH17.

4 Nov - Malaysia dan Australia mengulangi komitmen untuk membawa ke muka pengadilan dalang yang bertanggungjawab menembak pesawat MH17, menurut kenyataan Kementerian Luar.

18 Nov - Rundingan bagi penubuhan tribunal mengenai tragedi MH17 masih diperhalusi di peringkat Pasukan Siasatan Bersama MH17, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu Dewan Rakyat.