Satu jawatankuasa khas telah ditubuh bagi meneliti dan mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan beliau, dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya jawatankuasa itu akan mengambil tindakan susulan termasuk tindakan tegas ke atas mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku dan penyelewengan dalam sistem tadbir urus kewangan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

"Kita minta SPRM sebagai agensi pertama (dalam jawatankuasa ini) cuba lihat sekiranya ada isu-isu berkaitan SPRM yang perlu diselesaikan dulu.

"Perkhidmatan awam memberi jaminan akan jalankan segalanya dengan telus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Rafulin di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Badong di sini, hari ini.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) agar satu jawatakuasa khas ditubuh bagi mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan mengemukakan cadangan konkrit untuk mengatasi sebarang kelemahan serta-merta.

Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha Negara berkata pihaknya telah mengarahkan setiap kementerian mengambil tindakan tatatertib mengikut bidang kuasa masing-masing terhadap pegawai mereka sekiranya bertanggungjawab terhadap sebarang kelemahan yang terkandung dalam laporan audit.

Dalam pada itu, Ali berkata satu lagi jawatankuasa khas yang juga akan dipengerusikan beliau serta dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan ditubuh dalam masa terdekat bagi memantau projek-projek kerajaan termasuk perolehan kerajaan.

"Kalau berlaku apa-apa penyelewengan, tindakan tegas akan diambil ke atas pegawai yang melakukannya," katanya.

Mengenai program hari ini, Ali berkata Yayasan Rafulin telah memberikan bantuan dalam bentuk pembinaan dewan serbaguna dengan kos kira-kira RM2.12 juta untuk SK Bukit Badong sebagai sebahagian CSR yayasan itu.

Katanya, yayasan itu turut menyumbang bagi pembinaan blok bangunan dua tingkat dengan kos kira-kira RM1.526 juta kepada Sekolah Kebangsaan Ijok.