Kebiasaannya pada hari pertama persekolahan, ibu bapa akan menemani anak masing-masing di dalam sekolah, khususnya bagi sesi kemasukan pelajar Tahun 1.

Namun kali ini, menerusi program 'Ku Serah Padamu' anjuran Sekolah Kebangsaan Minden Height, Gelugor, semua ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak mereka di perkarangan pintu pagar sekolah.

"Program ini bertujuan untuk galakkan murid datang ke sekolah dengan penuh keyakinan diri, jadi ibu bapa hanya hantar ke pintu pagar sahaja, kami akan terima dan bawa anak mereka masuk ke kelas," jelas guru sekolah tersebut, Mazli Mohd Isa.

Ujarnya, pihak sekolah sudah bersedia menerima tanggungjawab mendidik murid yang diamanahkan kepada mereka dan berharap ibu bapa memberi sepenuh kepercayaan kepada guru-guru di sekolah berkenaan untuk menguruskan anak mereka.

"Kami dapati murid yakin melangkah ke sekolah dan saya tak nampak ada murid yang menangis," kata Mazli.

Semua guru bersedia seawal jam 6.50 pagi demi menanti kehadiran murid-murid dan pihaknya juga telah menjelaskan mengenai peraturan berkenaan kepada ibu bapa.


"Ada juga ibu bapa yang tidak begitu yakin untuk 'melepaskan' anak mereka di pagar sekolah tetapi kami cuba yakinkan mereka bahawa kami akan mengawasi murid sewaktu di dalam kelas serta pada waktu rehat, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang," tambah Mazli.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa menyambut baik inisiatif yang dilakukan pihak sekolah ini.

"Mungkin sesetengah ibu bapa tidak suka, tapi saya tiada masalah setakat ini sebab saya nak anak saya berdikari. Kalau tidak sesuai, saya akan tukar anak saya ke sekolah lain," kata Salbiah Mat, ibu salah seorang murid Tahun 1.

Seorang lagi ibu murid Tahun 1, Ranjini Ambigapati, berkata: "Ini cadangan yang baik kerana dari segi keselamatan, sekurang-kurangnya kita tahu tiada orang luar yang masuk ke sekolah. Cuma saya rasa gementar sedikit sebab ini pertama kali anak saya hadir ke sekolah."

SK Minden Height mempunyai 1,217 murid dengan 221 merupakan murid Tahun 1 dan 25 lagi mengikuti kelas pra-sekolah.