Sebanyak 19,000 akaun pengguna di beberapa kawasan sekitar Parit Buntar, Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Kuala Kurau akan mengalami gangguan bekalan air berikutan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Jalan Baru di Bagan Serai dihentikan sementara waktu bagi tujuan memulihkan kualiti air mentah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata perkara itu dilakukan selepas pihak Lembaga Air Perak (LAP) menjalankan siasatan dan mendapati kualiti air terusan besar yang disalurkan dari Tasik Bukit Merah merosot.

"LAP telah memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka pintu air di Pekan Batu 5 bagi membolehkan air terusan mengalir dan memulihkan kualiti air di dalam terusan di mana air mentah diperolehi.

"Jadi penutupan LRA Jalan Baru adalah sebagai langkah mitigasi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, pengguna di sekitar kawasan Kuala Kurau akan menerima air daripada LRA Gunung Semanggol manakala lori tangki akan disediakan di kawasan lain yang terlibat.

"Sehingga kini kualiti air mentah dipantau dan menunjukkan terdapat peningkatan kualiti. LRA Jalan Baru akan beroperasi sebaik sahaja kualiti air terusan kembali normal," katanya.

LRA Jalan Baru berkapasiti 50 juta liter sehari (JLH) membekalkan air bagi tiga bandar utama di daerah Kerian iaitu Parit Buntar, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau dan dalam keadaan biasa LRA tersebut membekal air sekitar 26 JLH.

-- BERNAMA