Di Asia Tenggara, Kuala Lumpur terpilih sebagai bandar raya kedua selepas Singapura dalam senarai Kualiti Kehidupan 2016, oleh firma konsultansi sumber manusia global, Mercer, yang diumumkan pada Selasa.

Namun jika dilihat dalam senarai penarafan dunia, Singapura adalah bandar raya dari Asia yang mendapat penilaian tertinggi kualiti hidup tersebut iaitu di kedudukan ke-26 manakala Kuala Lumpur di tangga yang ke-86.

Pencapaian destinasi Asia lain selepas Singapura dalam senarai dunia itu adalah lima bandar raya Jepun iaitu Tokyo di tangga ke-44, Kobe (46), Yokohama (49), Osaka (58) dan Nagoya (62). Ia diikuti dengan Hong Kong (70), Dubai (75) dan Taipei (84).

Bandar raya kedua dari Malaysia yang termasuk dalam senarai 230 destinasi dunia itu adalah Johor Bahru yang berada di tangga ke-103. Pencapaian bandar raya di selatan Semenanjung Malaysia itu boleh dibanggakan kerana kedudukannya lebih tinggi berbanding beberapa ibu negara ASEAN lain.

Prestasi bandar raya negara Asia Tenggara lain adalah Bangkok di tangga ke-129, Manila (136), dan Jakarta (142).

Bandar Seri Begawan, Brunei berada di tangga ke-102.

Vienna, ibu negara Austria, menduduki tangga teratas sedunia sebagai bandar raya yang paling berkualiti untuk didiami, diikuti Zurich, Switzerland dan Auckland, New Zealand.

Kaji selidik Mercer menyenaraikan bandar raya berdasarkan tahap keselamatan, termasuk kestabilan dalaman, kadar jenayah, prestasi penguatkuasaan undang-undang dan hubungan dengan negara lain.

Mercer yang mengkhusus kepada pengurusan sumber manusia serta penasihat kewangan dan perkhidmatan, menjadikan kualiti kehidupan sebagai kriteria utama penyenaraian bandar raya terbaik.