Kos keseluruhan Projek Pembinaan Transit Aliran Ringan LRT 3 dijangka dikurangkan sebanyak RM15.02 billion iaitu 47 peratus berbanding kos asal.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pengurangan itu dilakukan selepas kerajaan merasionalisasikan kos asal RM31.65 billion berdasarkan unjuran keperluan dan permintaan dalam kajian ketersauran.

“Penjimatan RM15.02 billion ini mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dengan mengawal tambang tren. Sebagai sebuah sistem pengangkutan awam , saya percaya harga tiket perlulah berada pada paras berpatutan,” jelas Guan Eng.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Novasi LRT3 di ibu negara pada Jumaat.

Turut menyaksikan acara itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Negara, Datuk Mohd Hazlan Mohamed Hussain.

Kata Guan Eng, menerusi rasionalisasi itu juga, bilangan stesen dikurangkan daripada 26 kepada 20 stesen antaranya Stesen Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Manakala satu lagi stesen jajaran bawah tanah di Shah Alam telah dimansuhkan.

Jelasnya, projek jajaran berkepadatan tinggi dari Bandar Utama Petaling Jaya dan Johan Setia di Klang sepanjang 37.6 kilometer itu bakal memanfaatkan dua juta pengguna sehingga tahun 2024.

Bagi memastikan kapasiti permintaan dipadankan, perkhidmatan LRT3 akan berkemampuan mengangkut 6,210 penumpang setiap sejam dan dijangka dapat menampung 67,000 penumpang sehari.

Guan Eng berkata, bagi memastikan harga kontrak tidak berubah, kerajaan telah menukar kontrak “Project Delivery Partner” (PDP) antara Prasarana Negara dan MRCB-GK kepada Kontrak Harga Tetap yang dipersetujui 25 Januari lalu.

“Di sini saya ingin menjelaskan bahawa Prasaran hanya perlu membayar RM760 juta dan bukannya RM808 juta seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media dalam bulan lepas. Ini adalah kerana kerja bernilai RM46.6 juta telah pun dirasionalisasikan,” katanya.

Mengikut perjanjian, Prasarana telah membayar MRGCB-GK sebanyak RM504 juta. Manakala baki RM255 juta akan dibayar kepada kontraktor pakej kerja (WPC) selepas perjanjian novasi ditandatangani.